ELAK INSOMNIA
Dicatat oleh
skkpgalit
di
2:56 PG
ELAK INSOMNIA
Penyakit ‘insomnia’ adalah istilah saintifik yang acap kali kita dengar. Kebiasaannya golongan remaja dan anak muda akan berdepan dengan masalah gaya hidup tidak sihat ini. Secara amnya, penyakit ini sering menjadi punca tidur anda terganggu.
Selalunya penyakit ini bermula ketika zaman pengajian di universiti lagi yang mana kebanyakan pelajar gemar menghabiskan waktu malam hingga lewat untuk belajar. Kemudian ia menjadi gaya hidup dan tabiat untuk terus tidur lewat dan kemudian bangun lewat pagi.
Tidak terlepas juga bagi golongan anak muda yang tidak belajar sebaliknya menghabiskan waktu malam hingga awal pagi untuk melepak dengan teman dan kemudian melayari internet. Ini adalah punca dan sebab yang mendorong gaya hidup seseorang individu itu untuk berdepan masalah insomnia.
Sesuatu yang pasti, penyakit ini perlu dijauhkan dan dielakkan. Tidak cukup sekadar mengambil ubat yang dicadangkan pihak doktor sebaliknya penyelesaiannya bermula dengan diri sendiri.
Apa kata bagi anda yang menghadapi masalah ini bolehlah mengikuti beberapa langkah yang disifatkan terbaik untuk membantu mengurangkan masalah ini.
Pertamanya, elakkan cahaya kerana hormon melatonin (membantu anda tidur) sangat dipengaruhi oleh cahaya yang diterima oleh mata. Jika cahaya sangat terang, ia akan melambatkan proses pengeluaran hormon itu. Tutup televisyen, komputer atau peralatan elektronik lain sebelum tidur.
Kedua pula tolong jauhkan diri dari melihat jam. Apabila mata kerap melihat ke arah jam terutama pada waktu malam, anda akan mengalami kesukaran untuk tidur kerana kerap rasa bimbang dengan baki waktu tidur anda sebelum hari esok bermula.
Jika anda mempunyai tabiat ini, cuba sembunyikan jam dalam laci atau bawah tempat tidur.
Ketiga yang acap kali menjadi punca kepada kebanyakan anak muda adalah mengambil kafein waktu malam. Minum kopi di pagi hari mungkin bagus untuk sesetengah orang. Namun, anda perlu mengelakkan minuman ini menjelang waktu tidur.
Kurangkan juga pengambilan coklat, cola atau teh. ‘Pain killer’ dan pil penurun berat badan juga mengandungi kafein dan tidak sesuai diambil pada waktu malam.
Keempatnya, aturkan jadual tidur. Jika sebelum ini anda seorang yang kerap tidur pada lewat malam, cuba anda reka satu jadual tidur yang betul. Set pada minda bahawa anda sepatutnya tidur pada pukul 10 malam. Dengan cara ini, anda dapat memaksa diri anda untuk tidur pada waktu yang betul.
Kelima pula, khusus kepada kebanyakan remaja lelaki, jangan merokok sebelum tidur. Nikotin juga adalah perangsang seperti kafein. Ia akan membuatkan anda semakin terjaga dan boleh memburukkan lagi insomnia. Latih diri anda untuk berhenti merokok pada waktu malam.
Keenam, jauhkan binatang peliharaan dari katil tempat anda tidur. Gerakan anjing atau kucing kesayangan pada waktu malam akan menghalang anda mendapat tidur yang nyenyak. Mereka juga boleh membawa kutu, debu, bulu dan pencetus alergi lain ke tempat tidur anda. Tempatkan mereka di luar bilik tidur pada waktu malam.
Terakhir yang paling penting untuk semua individu sebenarnya, tenangkan fikiran anda sebelum tidur. Bagi minda dan emosi anda tenang kira kira satu jam sebelum tidur. Bacalah buku, mendengar muzik atau mandi menggunakan air panas untuk menenangkan fikiran.
Sumber: Harian Metro
0 ulasan:
Catat Ulasan