GERAN BANTUAN KEWANGAN-PKS
Dicatat oleh
skkpgalit
di
6:56 PTG
Geran bantuan kewangan untuk sekolah rendah tubuh PKS.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengalu-alukan sekolah rendah menubuhkan Kelab Pengguna Sekolah (PKS) sepertimana yang telah dilaksanakan di sekolah menengah seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekolah rendah yang berminat menubuhkan KPS akan diberi geran bantuan kewangan sebanyak RM500 seperti yang diberi kepada KPS sekolah menengah.
"Setakat ini belum ada sekolah rendah yang menubuhkan KPS namun KPDNKK percaya usaha memupuk pendidikan kepenggunaan di peringkat sekolah rendah adalah amat perlu bagi melahirkan generasi celik pengguna seawal peringkat mereka menjadi pengguna," katanya ketika berucap merasmikan program Kids@Kepenggunaan 2013 - Gerak Gempur Cetak Rompak di Sekolah Kebangsaan Seri Gombak, di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata setakat ini sebanyak 2,272 KPS dan 2,229 Kelab Koperasi Sekolah telah ditubuhkan di seluruh negara.
Menurutnya lagi, usaha menerap ilmu kepenggunaan di kalangan murid prasekolah juga telah dilaksanakan melalui Program Pengguna Cilik Yang Celik yang memfokuskan tiga perkara utama iaitu amalan pemakanan sihat, pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan kewangan berhemah.
"Kita tidak mahu anak-anak kita membesar sebagai generasi yang naif akan ilmu dan hak kepenggunaan. Program kepenggunaan yang sesuai mengikut umur mereka boleh diterapkan seperti pengambilan makanan berkhasiat atau mengenal makanan yang telah tamat tarikh luput," katanya.
Beliau berkata kementerian akan meneruskan program kepenggunaan di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pelajaran melalui pelbagai saluran termasuk aktiviti kokurikulum atau pembelajaran di luar bilik darjah.
Selain itu katanya, elemen kepenggunaan turut akan diterapkan dalam mata pelajaran seperti Ekonomi Asas, Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dan Kemahiran Hidup.
Sementara itu, program Kids@Kepenggunaan yang diadakan hari ini merupakan kesinambungan kepada projek perintis yang telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Taman Bukit Maluri pada November lepas.
Pada program itu, pelajar diberi pendedahan mengenai hak dan tanggungjawab pengguna serta kesan penggunaan barangan tiruan dan cetak rompak. - Bernama
Sumber: Harian Metro
0 ulasan:
Catat Ulasan